BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, July 2, 2009

RENUNGKANLAH..UNTUK TATAPAN SEMUA..

Menjelang bergelar ibu, seorang isteri akan melalui ujian dan cabaran tersendiri. Namun, rasa bahagia mengandungkan anak hasil perkongsian hidup dengan suami membuatkan dia lupa penanggungannya sewaktu sarat mengandung. Memang kadang-kadang rasa agak tidak selesa dengan perut yang membesar.

Suami yang memandang pun rasa ‘rimas’ melihat pergerakan isteri yang terbatas, inikan pula isteri yang menanggungnya. Namun, rasa tidak selesa itu hilang bila timbul bayangan cahaya mata yang bakal ditimang. Isteri sanggup melalui detik ujian dan cabaran sewaktu mengandung demi kasih pada suami dan anak dalam kandungan.

Dalam keadaan sarat mengandung, isteri masih aktif di rumah. Membawa perut yang memboyot, dia masih sanggup turun ke dapur, membasuhkan pakaian suami, menjemur kain baju, basuh pinggan mangkuk, mengelap lantai, membersihkan habuk dan bermacam lagi.Banyak kerja yang dilakukan oleh isteri ini adalah hakikatnya untuk membantu suami membereskan urusan rumah tangga. Kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab bersama itu dibuat oleh isteri demi memberi khidmat bakti kepada suami.

Tidak ada isteri yang merungut kenapa dia harus menanggung sakit bersalin dan berpantang lepas bersalin. Sebaliknya isteri boleh senyum selepas mengalami kesakitan yang tak tertanggung sewaktu bersalin. Selepas berhempas-pulas bersabung nyawa di meja bersalin, beberapa minit kemudian dia boleh melemparkan senyum puas bila menatap wajah suami dan wajah anak yang masih merah. Bukan cerita sakit bersalin yang diluahkan pada suami, tapi cerita gembira menimang cahaya mata.Walaupun isteri tahu sakitnya bersalin, tapi setiap kali mengandungkan anak suami, si isteri tidak pernah meluahkan rasa takut dan ngeri untuk bersalin lagi. Kalau ada suami yang pernah menemani isteri di meja bersalin dan melihat penanggungan isterinya sewaktu meneran anak, dia akan tahu beratnya sakit yang ditanggung waktu itu. Memang isteri terpaksa berhempas-pulas. Mungkin suami tidak akan sanggup melihat isteri menanggung sakit seperti itu lagi, tapi si isteri tetap bersedia mengharungi kesakitan yang sama.

Demi kegembiraan bersama memperolehi cahaya mata, soal sakit dilupa-lupakannya. Pengorbanan isteri ini, jika difahami oleh suami, pasti akan sangat dihargai. Melihat wajah anak-anak, terbayang keperitan yang dialami isteri waktu mengandung dan melahirkannya dulu.Selepas melahirkan anak, isteri harus berkorban pula membesarkan si kecil. Menyusukannya tidak kira waktu, membersihkan najisnya, memandikannya, menyuapnya ketika sudah boleh makan, menadah telinga mendengar tangisannya bila si kecil meragam… Kemudian memenuhi tanggungjawab mendidiknya dan berdepan dengan segala kerenahnya. Belum pun anak itu cukup besar, isteri mengandung lagi dan melahirkan si adik pula.

Terpaksa pula memberi perhatian dan jagaan pada si bayi di samping meneruskan proses jagaan dan didikan kepada si abang atau si kakak. Sebahagian besar keperluan anak-anak ini, isterilah yang membereskannya. Isteri benar-benar menjadi tangan kanan suami untuk memelihara dan mendidik setiap orang anak yang lahir dari zuriat suami.Jarang sekali ada isteri menuntut bayaran dari suami bagi kerja-kerja ‘lebih masa’ yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi untuk menuntut gaji. Kalau suami faham dan tahu menghargainya, alhamdulillah. Kalau suami mahu sama-sama ringankan tangan untuk membantu, syukur. Kalau suami sekali-sekala mahu memberi penghargaan dalam bentuk material atau hadiah, itu dikira sudah cukup baik. Paling tidak, penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra pun amat tinggi harganya.
Ini satu kelebihan wanita. Allah jadikan fitrahnya dari segi fizikal dan kehalusan perasaan, mampu menanggung segala macam tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi kalau isteri dapat rasakan apa yang dibuatnya itu akan membahagiakan suami dan mengganjarkan pahala dari Allah. Di situ dia mendapat motivasi dan lebih bersemangat untuk buat bermacam-macam kerja.
Namun, kalaupun suami tidak faham, tidak prihatin dan tidak mahu menunjukkan penghargaan serta pengiktirafan, isteri akan tetap melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

0 comments: